UIA juaraan debat Arab tewaskan universiti Indonesia


KUALA LUMPUR: Pasukan debat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini sekali lagi mengulangi kejayaan mereka apabila dinobatkan sebagai juara dalam Kejohanan Debat Terbuka Bahasa Arab 2017 (IADCO 2017) bagi kategori universiti yang berlangsung di Kampus Utama UIAM di Gombak malam tadi.

Pasukan UIAM yang bertindak sebagai pihak kerajaan berjaya mengalahkan pasukan dari Universitas Islam Indonesia (UII) pada pusingan akhir dengan tajuk ‘Dewan ini percaya penghijrahan para ilmuan dari dunia ketiga menjejaskan projek pembangunan’.

Dibarisi 3 peserta, pasukan UIAM terdiri daripada Nur Fadhilah Waji, Mohammad Ikmal Hakimi Mohammad Helni dan Mohammad Nazri Rostam yang juga merupakan naib johan pada Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa 2017 yang berlangsung di Doha, Qatar baru-baru ini, menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan cenderahati.

Kejohanan yang berlangsung sejak 4 hingga 7 Ogos itu disertai 19 pasukan pendebat bahasa Melayu, 22 pasukan pendebat bahasa Inggeris dan 22 pasukan pendebat bahasa Arab bagi kategori sekolah manakala 14 pasukan dari universiti tempatan dan luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Jordan menyertai kategori universiti.

Pemenang Anugerah Pendebat Terbaik Pusingan Akhir dan Keseluruhan bagi Kejohanan IADCO 2017, Mohamad Ikmal Hakimi ketika ditemui Bernama selepas majlis itu melahirkan perasaan gembira dan teruja apabila menerima 2 anugerah dalam kejohanan itu.

“Saya sangat bersyukur dan gembira atas kejayaan yang dicapai… ini adalah kali pertama saya memenangi Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan. Saya juga amat gembira kerana dapat mengekalkan piala kejohanan di UIAM,” katanya yang membawa pulang hadiah wang tunai RM300 bagi setiap anugerah itu.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM Prof Datuk Dr Mizan Hitam dalam ucapannya berkata para peserta yang menyertai kejohanan ini adalah pewaris negara masa depan.

“Perdebatan merupakan satu platform terbaik bagi melahirkan cendekiawan yang bukan sahaja cakna dengan isu mutakhir dan mampu berfikiran kritis dan kreatif, tetapi juga berkemahiran untuk meluahkan idea berkenaan dengan cara yang berkesan”, katanya pada majlis penutupan kejohanan itu.

Kejohanan anjuran UIAM setiap tahun itu menjadi satu platform bagi para peserta untuk mengasah kemahiran berdebat dalam bahasa Arab dan pengucapan awam.

Tahun lepas, pasukan B UIAM merangkul kejuaraan selepas menewaskan pasukan A dari universiti yang sama yang mana Muhammad Ikmal Hakimi daripada pasukan B diumumkan sebagai Pendebat Terbaik bagi pertandingan itu. Bernama Today

Comments

Popular posts from this blog

FAKE NEWS dari Parti Tindakkan Demokratik (DAP)

US stocks opened high